Bimbang Perpaduan Melayu

Dec 14, 2009

IPOH 13 Dis. - Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi.

''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam.

''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Harussani, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan pihak-pihak tertentu mudah mengambil kesempatan untuk terus melemahkan mereka.

Katanya, antara strategi yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit dalam usaha memecah-belahkan orang Melayu ialah memuji tindakan-tindakan yang hanya akan lebih melebarkan lagi jurang perpecahan tersebut.

Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu bersatu.

''Manusia ini akan jadi melampau kerana mereka berasa mereka kuat. Orang Melayu mesti sedar keadaan ini.

''Jangan biarkan perpaduan kita lemah kerana terpengaruh dengan orang lain, terpengaruh dengan pujian-pujian yang ada muslihat lain," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap orang Melayu yang terlalu berlembut menyebabkan pihak-pihak berkepentingan tersebut semakin berani.


sumber : Utusan Malaysia Online

Selamat menyertai famili GPMS UIAM!!

Perhimpunan Mahasiswa Melayu (PMM) telah diadakan pada 10 Disember 2009 bertempat di Bilik Operasi GPMS UIAM. Perhimpunan Mahasiswa Melayu merupakan satu permulaan untuk GPMS UIAM memberi info serba sedikit tentang GPMS kepada ahli-ahli baru.


Majlis telah dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Saudara Zambri Bin Mat Isa, Setiausaha Agung GPMS Kebangsaan.
Saudara Zambri Mat Isa

Turut bersama turun padang ialah wakil-wakil GPMS Kebangsaan, wakil dari saudara seperjuangan, GPMS Kolej Islam Antarabangsa, dan wakil dari GPMS Cawangan Wangsa Maju. Mantan Yang Dipertua GPMS UIAM terdahulu, saudara Wan Mohd Safwan juga turut hadir bersama kepimpinan terdahulu.




Sekalung tahniah diberikan atas usaha keras ahli-ahli dan barisan kepimpinan atas peningkatan yang ditunjukkan dalam usaha mencari ahli yang berkaliber dan setia untuk bersama memperjuangkan pendidikan anak bangsa.


sesi soal jawab

Majlis bersurai pada jam 11 malam.



Memorandum Bantahan Terhadap Kenyataan M.Kulasegaran

Dec 10, 2009

MEMORANDUM

TARIKH: 10 DISEMBER 2009

KEPADA: YANG BERHORMAT M. KULASEGARAN

AHLI PARLIMEN IPOH BARAT

DARIPADA: GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)

MEMBANTAH KENYATAAN MEMPERSOAL KETUANAN MELAYU DAN MENDESAK PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA

PENDAHULUAN:

MEMORANDUM INI BERTUJUAN UNTUK MEMBANTAH TINDAKAN YB M. KULASEGARAN YANG MEMBUAT KENYATAAN TERBUKA DI MEDIA DENGAN MEMPERSOALKAN KETUANAN MELAYU DAN MENUNTUT AGAR KONSEP KETUANAN MELAYU DIHAPUSKAN ATAS ALASAN KONONNYA BIMBANG TENTANG HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA.

GPMS IALAH SEBUAH PERTUBUHAN YANG DITUBUHKAN SEMENJAK TAHUN 1948 BAGI MENJAGA KEPENTINGAN PENDIDIKAN MELAYU DAN MARUAH ORANG MELAYU SEBAGAI PENDUDUK ASAL DI NEGARA INI. PERJUANGAN GPMS ADALAH BERDASARKAN PRINSIP NON PARTISAN.

TUNTUTAN:

KAMI MENGAMBIL KETEGASAN DAN INISIATIF INI UNTUK MEMBANTAH DENGAN SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN YB M. KULASEGARAN YANG DISOKONG OLEH PARTI DAP ATAU MANA-MANA PIHAK YANG MEMPERSOALKAN KETUANAN MELAYU ATAS APA JUA ALASAN.

DALAM KES INI, KAMI MENDESAK AGAR PIHAK YB MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA DAN MEMPELAJARI, MEMAHAMI DAN MENERIMA KONSEP KETUANAN MELAYU YANG TELAH BERJAYA MEMBINA NEGARA MALAYSIA SELAMA 53 TAHUN. TUNTUTAN KAMI ADALAH SEPERTI BERIKUT:

  1. KAMI MENUNTUT AGAR PIHAK YB M. KULASEGARAN SERTA PARTI DAP MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA KEPADA ORANG-ORANG MELAYU SECARA KHASNYA SERTA KEPADA RAKYAT MALAYSIA SECARA AMNYA. INI KERANA KENYATAAN MENENTANG KETUANAN MELAYU TELAH MENGGURIS HATI ORANG-ORANG MELAYU SECARA SERIUS DAN MEMBANGKITKAN KEMARAHAN ORANG-ORANG MELAYU.

  1. KONSEP KETUANAN MELAYU BUKANLAH BERERTI MENIDAKKAN HAK SERTA MENINDAS KAUM LAIN SEPERTI YANG DIDAKWA YB M. KULASEGARAN. SECARA LANGSUNG, KENYATAAN TERSEBUT ADALAH FITNAH DAN MENYELEWENG SERTA MENGAKIBATKAN SALAH FAHAM TENTANG KONSEP KETUANAN MELAYU. KENYATAAN TERSEBUT JUGA BERBENTUK HASUTAN KERANA IA SECARA LANGSUNG MENGGALAKKAN ORANG-ORANG BUKAN MELAYU BERTINDAK MENENTANG KETUANAN MELAYU.

  1. KAMI MENDESAK PIHAK YB UNTUK MEMPELAJARI SERTA MEMAHAMI KONSEP KETUANAN MELAYU SEBELUM MEMBUAT APA-APA KENYATAAN TENTANG KETUANAN MELAYU.

  1. KAMI MENDESAK AGAR PIHAK YB SERTA PARTI DAP AGAR TIDAK BERSIKAP KURANG AJAR DENGAN MEMBUAT KENYATAAN YANG MEMPERSOALKAN KONSEP KETUANAN MELAYU, HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU, AGAMA ISLAM SERTA APA-APA PERKARA YANG BOLEH MENGGANGGU-GUGAT KESEJAHTERAAN SERTA KEHARMONIAN KAUM DI NEGARA INI.

  1. KAMI MENYOKONG USAHA UNTUK MENJAMIN SERTA MENGERATKAN HUBUNGAN ANTARA KAUM DI MALAYSIA DENGAN SYARAT KONSEP KETUANAN MELAYU TIDAK DI GANGGU GUGAT DAN SENTIASA DIHORMATI OLEH SEMUA PIHAK KERANA KONSEP KETUANAN MELAYU ADALAH PERKARA ASAS DALAM PEMBENTUKAN MASYARAKAT YANG AMAN SERTA HARMONI DI MALAYSIA.

  1. KAMI MENEGASKAN BAHAWA TINDAKAN MEMPERSOALKAN KONSEP KETUANAN MELAYU YANG TELAH DILAKUKAN PIHAK YB ADALAH BERTENTANGAN DENGAN UNDANG-UNDANG DIBAWAH AKTA HASUTAN, SEKSYEN 3(1)(e) DAN SEKSYEN 3(1)(f) DIMANA PERBUATAN YB SEPERTI YANG TERSEBUT DIATAS ADALAH MEMPERSOALKAN HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU (PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN) SECARA LANGSUNG DAN MAMPU MENGEMBANGKAN PERASAAN PERMUSUHAN ANTARA KAUM DI MALAYSIA. SABIT KESALAHAN KALI PERTAMA, PESALAH BOLEH DIDENDA TIDAK MELEBIHI LIMA RIBU RINGGIT MALAYSIA ATAU DIPENJARAKAN SELAMA TEMPOH TIDAK MELEBIHI TIGA TAHUN ATAU KEDUA-DUANYA, SEPERTI YANG TERMAKTUB DALAM SEKSYEN 4(1) AKTA HASUTAN.

  1. KAMI TEGASKAN BAHAWA KONSEP KETUANAN MELAYU ADALAH SELARI DENGAN PERLEMBAGAAN SEPERTI TERTAKLUK DALAM PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN TIDAK BERCANGGAH DENGAN KONSEP 1 MALAYSIA. SEBAGAI SEORANG AHLI PARLIMEN, YB PERLU TAHU BAHAWA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ADALAH UNDANG-UNDANG TERTINGGI NEGARA DAN WAJIB DIIKUTI DAN DIHORMATI.

8. JIKA PIHAK YB MASIH TERUS MEMPERSOAL KETUANAN MELAYU DAN ENGGAN MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA, KAMI AKAN MENGAMBIL SEBARANG TINDAKAN YANG DIFIKIRKAN PERLU UNTUK MEMPERTAHANKAN KETUANAN MELAYU.

Pendapat GPMS UIAM tentang kursus BTN

Dec 2, 2009

Kursus BTN bukanlah agen propaganda daripada pihak Kerajaan dalam mempengaruhi kuasa politik sebaliknya kursus BTN merupakan kursus yang dilihat mampu menaikkan semangat patriotisme. Modul-modul yang dijalankan dalam kursus BTN itu sebenarnya baik dan boleh memupuk semangat cintakan negara.

Ini antara pendirian GPMS UIAM dalam situasi pengharaman BTN oleh Kerajaan Selangor kepada semua penuntut Institusi Pengajian Tinggi di negeri Selangor yang berkuat kuasa serta merta. Ia juga diharamkan kepada kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan pegawai di negeri Selangor.

Bagi pihak GPMS UIAM, kami merasakan bahawa kursus BTN ini perlu dipertahankan, cuma perlu penambahan dalam proses perlaksanaannya selaras dengan perubahan zaman untuk memenuhi keadaan semasa.

Apabila zaman berubah, GPMS UIAM percaya bahawa pendekatan yang perlu dilakukan juga perlu diubah untuk sedikit sebanyak memantapkan lagi keberkesanan kursus BTN tersebut. Tetapi ini juga tidak bermakna bahawa modul yang lama langsung tidak boleh diguna pakai.

Sedikit kisah

Nov 29, 2009

Komunis dan Chin Peng

KISAHNYA CHIN PENG....

Saya agak terpanggil membuat sedikit kajian tentang Chin Peng apabila lewat2 ini namanya kuat berkumandang di akhbar, portal-portal dan laman2 sesawang...
Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang berusia kini 85 tahun itu, bagaimanapun belum bersedia untuk memohon maaf di atas apa yang telah berlaku - tidak seperti yang dilaporkan media minggu lalu.

“Saya tidak ada niat lain selain daripada untuk pulang ke tanahair saya,” katanya.
Bercakap kepada media, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, berkata beliau berhasrat menziarahi kubur ibubapanya serta menemui anggota keluarganya. Chin Peng berada di bandar di selatan Thailand bagi menyambut ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai, yang menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Perjanjian damai tersebut ditandatangani Chin Peng dan Rashid Maidin mewakili PKM dan Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub mewakili kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.
Akhbar memetik sebagai berkata, keinginannya untuk pulang ke tanahair, begitu kuat sekali sehinggakan bekas pemimpin PKM itu sedang menimbang mengambil risiko masuk secara 'rahsia' dan terserahlah kepada pihak kerajaan untuk mengambil apa jua pun tindakan.

Saya tertarik dalam wawancara ekseklusif dengan akhbar The Star minggu lalu, Chin Peng dilapor dan dipetik sebagai berkata, dia memohon maaf kepada mangsa dan keluarga yang menjadi mangsa keganasan PKM dan berkata PKM tidak pernah berniat untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa, tetapi beliau mengakui - "kami mungkin telah melakukan kesilapan dalam beberapa kes"!.
Namun disebalik itu kata Peguam mewakilinya, Leong Cheok Keng yang turut membawa rakaman wawancara dengan akhbar The Star, berkata Chin Peng bersedia memohon maaf sekiranya ada bukti yang menunjukkan anggota PKM telah dengan sengaja membunuh rakyat yang tidak berdosa!!
Beliau mengkritik akhbar tersebut yang memainkan isu "permohonan maaf" itu kerana ia memberi gambaran yang Chin Peng menyesal atau telah mengaku telah membunuh orang yang tidak berdosa.

Chin Peng

Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya. beliau dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.
Sebagaimana sangkaan ramai, Chin Peng bukan berasal dari China, tetapi beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari sebelahku" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.

Kisah hidupnya

Semasa kecil Chin Peng amat berminat membaca bahan-bahan media cetak dan menyorot perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.
Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.

Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak di dalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh di dalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

Memimpin Parti Komunis Malaya

Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .

Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama Islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.

Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

Perjanjian Damai

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

Kemerosotan Komunis

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

Kembali ke Malaysia

Cubaannya untuk kembali ke Malaysia menerima sokongan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan parti DAP. Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal memimpin Parti Komunis Malaya dalam perperangan mereka menentang kerajaan malaysia, malah bangga dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, ("Setiap generasi membina impiannya. ... Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. ... Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.").

Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya termasuk polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Rundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.

Persoalan ini dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi membenarkan tindakannya. Benarnya, pendirian komunisnya berpegang kepada komunisme kental sehingga tiada rasa salah dan dosa atas pembunuhan yang dilakukan dikala keganasan komunis yang diterajunya sejak dulu hingga ke saat nyawanya kini hampir sampai ke leher!
Tiada maaf bagi mu Chin Peng....

kredit untuk
Pengerusi GPMS Negeri Melaka

Jais Abdul Karim Peneraju Kepimpinan GPMS 09/12

Nov 24, 2009

Persidangan Agung Tahunan kali ke-55 menyaksikan Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican telah melepaskan jawatan Presiden yang dipegangnya selama sepenggal. Seluruh warga GPMS mengucapkan jutaan terima kasih sepanjang Dato' Presiden menerajui kepimpinan GPMS.

*mantan Presiden GPMS, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican

Persidangan Agung Tahunan kali ke-55 ini juga telah mengangkat saudara Jais bin Abd Karim, YDP GPMS Wangsa Maju, sebagai Presiden GPMS 09/12, menggantikan Dato' Reezal Merican. Timbalan Presiden pula disandang oleh saudara Rosdi Amir. GPMS UIAM akan sentiasa menyokong penuh Presiden GPMS yang baru dan memastikan GPMS lebih gemilang dengan hala tuju yang lebih menjamin kehidupan anak bangsa.

*saudara Jais Bin Abd Karim, Presiden GPMS 09/12

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada calon2 yang menang bertanding untuk jawatan Naib Presiden 1 iaitu saudara Hasnul Fairus Hushin Amri. Naib Presiden 2 disandang oleh saudara Ezaruddin Abdul Rahman dan Naib Presiden 3 ialah saudara Hishamuddin Abd Rahman. Naib Presiden Wanita yang telah dilantik pula ialah saudari Rafidah Mohd Ariffin.


* saudara Hasnul Fairus

Setiausaha Agung disandang oleh saudara Zambri Mat Isa dan Penolong Setiausaha Agung pula ialah saudara Marwan Bin Abu Kassim. Bendahari ialah saudara Annas Ahmad dan Ketua Penerangan ialah saudara Irmohizam Ibrahim.

Enam jawatan Ahli Majlis Tertinggi telah dimenangi oleh saudara Ismadee Asmara Ishak, saudara Khairul Adha Mazlan, saudara Azham Abara Ahmad, Dr. Hazzaini Hashim dan saudara Alif Anas Bin Mohd Noor.

*saudara Ismadee Asmara Ishak

GPMS UIAM sungguh berbesar hati dan berbangga apabila antara enam jawatan itu, YDP GPMS UIAM, saudara Mohd Redzuan Bin Mohd Yusoff merupakan antara salah seorang calon yang menang bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Jutaan tahniah buat saudara Redzuan.

*saudara Mohd Redzuan

GPMS UIAM berharap agar kepimpinan yang diterajui oleh saudara Jais atau lebih mesra dipanggil Abang Jais dikalangan warga GPMS UIAM, akan terus memperjuangkan bangsa dan negara dalam mengharung globalisasi dunia.

Tahniah sekali lagi buat semua pemenang. Salam perjuangan, Salam Satu Malaysia.

Para Jamaludin,
Exco,
Biro Teknologi dan Multimedia.

Persidangan Agung Tahunan GPMS 2009

Nov 2, 2009

Persidangan Agung Tahunan kembali lagi. Kali ini bertempat di UiTM Shah Alam. Pihak GPMS UIAM mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi sebahagian daripada komiti yang terlibat untuk menjayakan program ini pada 20-22 November nanti.

Persidangan Agung Tahunan kali ini bakal menyaksikan pengunduran Presiden GPMS, Dato Reezal Merican Naina Merican sebagai Presiden GPMS. Walau siapa pun Presidennya, GPMS UIAM berharap agar semangat dan perjuangan bangsa Melayu semakin gemilang dan tak hilang ditelan arus modenisasi dan globalisasi.

Berikut adalah butir-butir Pesidangan Agung Tahunan (PAT).

Tempat : UiTM Shah Alam
Tarikh : 20-22 November 2009

Bajet 2010 : Keutamaan Dalam Bidang Pendidikan

Oct 24, 2009

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan bajet 2010 pada beberapa hari yang lalu. Antara yang menarik perhatian terutamanya di kalangan mahasiswa-mahasiswa ialah tentang pembentangan bajet dalam bidang pendidikan. Antara teks ucapan beliau ialah

Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar
Selain itu sebagai galakan, Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama:
Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua:
Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga:
Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.


Selain dari itu, Datuk Seri Najib juga turut berucap mengenai

Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA)

Dalam usaha Kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.

Pihak GPMS UIAM menyokong penuh bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan terbentuknya penukaran PTPTN ke biasiswa secara bersyarat membolehkan pelajar semakin berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan.

Disamping itu, keutamaan dalam bidang pendidikan amatlah dihargai kerana generasi sekarang adalah generasi yang bakal menjadi pemimpin era yang akan datang.

Sokongan terhadap penubuhan Gagasan 1Malaysia juga dirasakan memberi manfaat kepada rakyat dan negara dengan slogan mantap "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"

teks ucapan penuh Perdana Menteri bolehlah diperolehi di sini

sumber : mymetro

Mesyuarat Agung Tahunan GPMS UIAM

Oct 21, 2009

21 Oktober 2009 manyaksikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung UIAM telah sebulat suara menentukan siapa yang layak mengepalai pemerintahan GPMS UIAM untuk semester depan. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu GPMS dan bacaan ikrar yang disempurnakan oleh saudara Mohd Ferdhaus Sazali dan bacaan doa oleh saudara Tajul Ariffin Bin Musa.

Permulaan majlis dimulakan dengan ucapan daripada Presiden, Saudara Mohd Redzuan Bin Mohamed Yusoff.

Kemudian, mesyuarat Agung Tahunan itu dirasmikan oleh Yang DiPertua GPMS Cawangan Wangsa Maju, saudara Jais Bin Karim yang merupakan tetamu kehormat yang dijemput oleh GPMS UIAM memandangkan beliau juga merupakan teraju utama tertubuhnya GPMS di UIAM satu ketika dahulu.


Antara ahli yang hadir.


Mesyuarat agung tahunan seperti biasa didahulukan dengan penglucutan jawatan, perlantikan pengerusi dan setiausaha mesyuarat agung, menerima dan mengesahkan korum mesyuarat agung, mengesahkan dan meluluskan mesyuarat agung terdahulu, membentang dan menerima laporan kewangan dan tahunan dan melantik ahli jawatankuasa baru bagi kepimpinan yang seterusnya.

Ahli-ahli GPMS UIAM dengan sebulat suara telah memilih

Presiden : Mohd Redzuan Bin Mohamed Yusoff
Timbalan Presiden: Nurul Izziani Bt Mohd Fakhrurzi
Naib 1 : Mohd Azhan Zahini Bin Ariffin
Naib 2 : Putri Shah Dihana Bt Megat Alam Shah
Naib 3 : Ainun Bt Satar
Setiausaha : Siti 'Aishatul-Humairah Bt Mohd Fisol
Bendahari : Nur Hidayah Syarida Bt Abdul Aziz

dan 6 exco iaitu

Mohd Tajul Aariffin Bin Musa
Mohd Ferdhaus Sazali
Nur Khairunnisha Bt Ismail
Katrina Bt Muhammad Kumar
Nor Azlin Bt Ibrahim
Noorfarahdila Bt Jamaludin.

Kemudian, disusuli dengan ucapan penangguhan oleh YDP GPMS UIAM, Saudara Redzuan. Majlis tamat pada jam 10:45 malam.

Diharapkan agar kepimpinan akan datang ini dapat diterajui dengan baik serta cemerlang dari segala segi untuk terus bersama memacu hidup nusa dan bangsa.

Sejauh Mana Ia Mampu Diteruskan?

Sep 29, 2009

Mahasiswa semakin bergelut dengan cabang-cabang cabaran yang perlu diambil langkah yang positif dalam meneliti setiap keadaan, terutamanya untuk pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam, (IPTA).

Mahasiswa juga disarankan agar jangan melatih diri tapi mencabar diri untuk persediaan menjadi pelapis dan tunggak untuk mengepalai masa hadapan.

Sila ke link ini untuk cerita penuh : Utusan Online

Salam Aidilfitri

Sep 18, 2009

Ramadhan semakin berlalu meninggalkan kenangan puasa untuk tahun 2009. GPMS UIAM tidak ketinggalan menyambut Ramadhan dengan penuh rasa kesyukuran dan keberkatan dari Allah SWT.

Sempena Syawal yang bakal menjelma, GPMS Cawangan Khas UIAM mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua warga GPMS UIAM, GPMS cawangan-cawangan khas serta GPMS cawangan-cawangan seluruh Malaysia.


Semoga Syawal kali ini membawa erti yang besar kepada semua warga GPMS seluruh Malaysia. Tidak lupa juga untuk semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia.


Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir dan Batin



Konvoi E Kasih, 12 Sept

Sep 14, 2009

Dewan masjid Salehuddin Al Ayubi, Taman Melati menjadi titik pertemuan Konvoi E-Kasih yang berlangsung pada pukul 4 petang, 12 September 2009. Datuk Shafei Abdullah selaku Ketua UMNO Cawangan Wangsa Maju, telah dijemput untuk merasmikan program E-Kasih ini.

Antara kenangan sepanjang program




Semoga program ini dapat diteruskan walaupun Ramadhan hampir tiba di penghujungnya.

Bengkel Training of Trainers anjuran SUHAKAM

Sep 9, 2009

Bertempat di Kuala Lumpur International Hotel, pada 5 dan 6 September 2009, GPMS Cawangan Khas UIAM telah menghantar beberapa orang wakil untuk menyertai program Training of Trainers (TOT), Bengkel Hak Asasi Manusia Untuk Pemimpin Pelajar UIAM anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Program dua hari satu malam itu menyaksikan GPMS UIAM serta beberapa kelab dan persatuan lain dari UIAM iaitu Kelab Wawasan, Entrepreneurship, Women Affairs Division(WAFA) dan beberapa persatuan lain.

Dimulakan dengan ice breaking, sesi kedua yang bertajuk "Apa itu hak asasi manusia?" dikelola oleh Profesor Emeritus Khoo Khay Kim, bekas pensyarah di Universiti Malaya yang mementingkan hak kebebasan dan hak kemanusiaan dalam diri terutamanya golongan muda. Profesor Khoo juga menyatakan bahawa sistem pendidikan yang terlalu bergantung kepada buku-buku membuatkan para pelajar terlalu menghafal dan menjadi kurang kreatif.

Sebagai seorang pakar sejarah, Prof Khoo menegaskan bahawa pelajar sekarang perlu memahami sejarah untuk mengetahui keadaan hari ini supaya dapat tampil dengan suara yang berdedikasi serta dapat memberi impak yang besar pada dunia hari ini. Seperti kata beliau, "tanpa sejarah, apa pun tak jelas"

Sesi ketiga,keempat, kelima dan keenam dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan para peserta untuk menyertai perbincangan dalam kumpulan tentang hak asasi manusia dan isu berkaitan mahasiswa.Pada sebelah malamnya, diadakan tayangan filem Persepolis.




Hari kedua diisi dengan slot forum yang bertajuk "Mahasiswa Lantang Melahirkan Mahasiswa Berkaliber". Dua orang panel yang dijemput adalah panel dari UKM dan UPM. Kemudian sesi terakhir ialah "plan of action" di mana para peserta diberi peluang untuk memikirkan program yang sejajar dengan hak asasi manusia terutamanya mahasiswa agar suara dan hak mahasiswa dapat didengari.

Majlis penutup dirasmikan oleh Dato Abdul Munir Bin Yaakob, Pesuruhjaya SUHAKAM yang juga merupakan Professor di Universiti Malaya, merangkap Bekas Ketua Pengarah UIAM.

Pihak GPMS UIAM berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi kerana input yang diberikan sungguh besar dan bermatlamat. Walaupun pihak GPMS UIAM diberitahu bahawa program TOT ini adalah program pertama anjuran SUHAKAM untuk pelajar universiti, tetapi rata-rata yang hadir berpuas hati dan memberi komitmen yang tinggi sepanjang program dijalankan.

Para Jamaludin,
Exco Penerbitan,
GPMS UIAM.

Konvoi E-Kasih-Derma Wangsa Maju

Sep 4, 2009

2 September yang lalu, GPMS Cawangan Khas UIAM telah dijemput untuk menyertai GPMS Cawangan Wangsa Maju dalam program E-Kasih - Derma Wangsa Maju yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan UMNO bahagian Wangsa Maju .


Program telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato Shafei Abdullah yang bermula kira-kira jam 9.45 malam. Program ini bertujuan untuk memberi derma kepada masyarakat Wangsa Maju mengikut kategori iaitu anak yatim, ibu tunggal, warga emas, fakir miskin dan orang kurang upaya(OKU)

Program ini mempunyai empat siri. Siri pertama telah pun selesai pada 29 Ogos yang lalu. Siri kedua telah pun berlangsung pada hari Rabu, 2 September 2009 di Kampung Puah Lembah. Berikut adalah antara beberapa rakaman kenangan sepanjang majlis berlangsung.




GPMS Cawangan Khas UIAM berterima kasih kepada GPMS Cawangan Wangsa Maju kerana menjemput kami. Pihak kami berharap agar siri ketiga dan keempat yang akan berlangsung pada 12 dan 13 September ini akan dapat dimeriahkan bersama.

Diharap juga program-program seperti ini diperbanyakkan kerana kita dapat mengetahui keadaan masyarakat dan dapat menghulurkan bantuan yang termampu. Selain daripada mengeratkan silaturrahim, kita dapat bersama-sama membuat amal kebajikan.

Semoga semuanya berjalan lancar untuk meneruskan kesinambungan siri Konvoi E-Kasih - Derma Wangsa Maju ini.

Iftar Sempena Ramadhan Al-Mubarak

Sep 1, 2009

GPMS Cawangan Khas UIAM telah mengadakan majlis berbuka puasa sempena menyambut Ramadhan al-mubarak pada 23 Ogos, bertempat di pusat gerakan GPMS Cawangan Khas UIAM.


Majlis di hadiri oleh saudara Jais Bin Karim, Naib Pengerusi 1 GPMS pusat, wakil dari GPMS Cawangan Wangsa Maju, wakil dari GPMS Cawangan Khas Kolej Islam Antarabangsa (IIC), serta ahli-ahli GPMS Cawangan Khas UIAM.


Seramai 40 orang menyertai majlis berbuka puasa tersebut dan diikuti dengan solat maghrib secara berjemaah.

Program Bual Bicara Remaja dan Masa Depan

Aug 11, 2009

Bertempat di Jalan Gombak, Kuala Lumpur, telah berlangsungnya program kerjasama antara Biro Rakan Muda Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Wangsa Maju.

Program yang bertajuk Bual Bicara Remaja dan Masa Depan ini telah diadakan pada 2 Ogos 2009, bermula jam 8 pagi hingga 1 petang. Upacara perasmian dirasmikan oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Dato' Dr. Mohd Shafei Abdullah.

Sesi bual bicara yang disertai oleh lebih kurang 140 peserta itu terdiri daripada GPMS Cawangan UIAM, GPMS Cawangan Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Universiti Kuala Lumpur MIMET dan juga Biro Rakan Muda masjid tersebut.

Sesi itu diisi dengan pelbagai perkara yang dibahas serta dikupas oleh Prof Madya Datuk Dr. Abdul Halim, CEO Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia Malaysia. Kebolehan beliau dalam memberi ceramah dan mengupas isu-isu remaja dan masa depan sangat memberangsangkan dan membuka minda para peserta.


Rata-rata semuanya berpuas hati dengan penyampaian beliau dan berharap, program-program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang kerana manfaat dan faedahnya sangat berkesan untuk para remaja.




Disediakan oleh,
Para Jamaludin,
Exco Penerbitan, GPMS Cawangan Khas UIAM

Kg Lorong Buah Pala : Bukan Salah Orang Melayu!

Jul 14, 2009

Kampung Lorong Buah Pala, Pulau Pinang. Secara tiba-tiba, kampong kecil dan tersorok di Pulau Pinang ini menjadi kampung paling terkenal di Malaysia, malah mungkin dengan bantuan dan sokongan HINDRAF, hingga ke India dan Britain.

Lonjakan populariti kampung ini bukanlah disebabkan oleh kemenangan salah seorang penduduk di dalam Anugerah Oscar, Hadiah Nobel ataupun tokoh pemimpin. Malah, kampung ini juga tidak pernah memenangi apa-apa pertandingan antara kampung; baik kampung paling aman, ceria, bersih ataupun apa jua.

Lonjakan populariti ini adalah kerana berlaku ‘clash of interests’ atau perlagaan kepentingan diantara penduduk kampung dan pemaju projek yang telah mendapat arahan mahkamah untuk mengambil tanah tersebut.

Melalui bacaan umum (Surat Khabar, Berita), penduduk hanya mendapat lesen kependudukan sementara (temporary occupation license). Mengikut peruntukan undang-undang, kebenaran jenis ini bukanlah kekal selama-lamanya malah perlu diperbaharui setiap akhir tahun. Dan jika pihak kerajaan negeri terbabit enggan meluluskan permohonan perbaharuan tersebut, maka si pemohon perlu mengosongkan tanah tersebut. Malah, mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mampu untuk mengambil tanah hak milik kekal sesiapa jua dengan pampas an yang sesuai.

Apa yang menjadi isu di kampung Lorong Buah Pala adalah janji kerajaan negeri (DAP pimpinan Lim Guan Eng) yang telah berjanji ketika kempen Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) untuk membela nasib penduduk kampung tersebut. Menurut wakil penduduk, selepas PRU-12, pihak kerajaan negeri tidak menunaikan janji sehingga Mahkamah Persekutuan mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk mengosongkan tanah sebelum 4 Ogos.

Malangnya, wakil penduduk telah mengeluarkan amaran berbentuk perkauman, dan amaran ini telah disiarkan melalui televisyen. Menurut wakil penduduk tersebut, masalah ini akan menjadi masalah perkauman kerana pihak pemaju adalah orang Melayu (masih tidak dapat dipastikan). Jika benar sekalipun pihak pemaju adalah Orang Melayu, perkara ini tidak wajar dijadikan isu perkauman. Pihak pemaju hanya menjalankan hak mereka mengikut undang-undang, bukannya merampas hak penduduk kampung.

Arahan daripada mahkamah telah dikeluarkan, notis sebulan telah diedarkan (sehingga seluruh negara tahu), malah penduduk sendiri memberi respons panas, membuktikan mereka faham akan arahan tersebut. Segala masalah yang timbul adalah antara mereka dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdasarkan janji yang ditaburkan (itupun jika ada!), dan arahan mahkamah yang dibuat mengikut lunas-lunas perundangan. Yang jelas, orang Melayu tidak langsung terlibat!

Selama inipun, telah terdapat pelbagai kejadian yang sama melibatkan tanah-tanah diduduki orang-orang Melayu di Pulau Pinang yang diambil oleh kerajaan negeri atas tujuan pembangunan. Contohnya, tanah-tanah di Tanjung Tokong yang diambil dan dibina kondominium yang jelas tidak mempu dimiliki Orang Melayu, tidak pula orang-orang Melayu menyatakan amaran berbentuk perkauman kepada orang Cina atas alasan pihak pemaju adalah CIna. Malah, isu ini tidak mendapat perhatian pun!

GPMS UIAM mengutuk sekeras-kerasnya amaran berbaur perkauman dari pihak wakil penduduk Kg Lorong Buah Pala terhadap orang Melayu. Masalah yang anda hadapi bukanlah salah orang Melayu. Anda telah memilih kerajaan negeri anda berdasarkan janji mereka; tuntut janji tersebut dari mereka. Jangan sesekali mambakar semangat perkauman. Tidak ada siapa mahu pertempuran berdarah berulang kembali!!!

MOHD REDZUAN BIN MOHAMED YUSOFF

YDP,

GPMS CAW KHAS UIAM

012-664 6907

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP