Tanggal 13 Mei 1969

May 13, 2009

Pada tanggal ini, 40 tahun yang lalu, satu peristiwa berdarah telah melanda Malaysia. Peristiwa tersebut telah lama berlalu, namun ia tetap menjadi bahan untuk dibicarakan baik oleh ahli politik yang mahukan undi, baik oleh golongan guru yang menyampaikan ilmu, waima oleh golongan-golongan ‘lama’ yang ingin mengingatkan golongan baru tentang peristiwa tersebut.

Ya, peristiwa berdarah tersebut ialah peristiwa 13 Mei 1969.

Boleh dikatakan separuh daripada rakyat Malaysia pada masa ini tidak pernah berada dalam suasana 13 Mei itu sendiri, atau ayat lainnya, kebanyakan daripada kita rakyat bumi bertuah ini tidak pernah merasai pengalaman ‘hands on’ ketika kejadian tersebut tercetus di Kuala Lumpur. Cerita-cerita yang kita dengar juga berbeza mengikut pengalaman si pencerita, sama ada dia adalah seorang wartawan, askar dan polis yang bertugas atau hanya seorang rakyat biasa yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Walau apa jua perbezaan dari struktur cerita, berpunca dari pelbagai faktor berbeza; pengalaman si penyampai cerita, pandangan ahli politik, pandangan diplomat dan konsular luar serta lain-lain sebab; masih terdapat persamaan yang tidak langsung boleh kita pertikaikan – Peristiwa 13 Mei 1969 adalah satu titik hitam yang sangat gelap dalam sejarah negara kita dan tidak seharusnya dibiarkan berulang.Ia perlu dihalang menggunakan apa jua cara sekalipun.

Peristiwa 13 Mei 1969 juga telah menjadi salah satu pemangkin, secara tidak langsung, kepada pembangunan negara kita pada hari ini. Bermula dari situ, pelbagai dasar diwujudkan oleh Kerajaan untuk memastikan keharmonian kaum, baik dari segi ekonomi, sosial dan lain-lain. Dari situ wujudnya Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara dan sebagainya yang menjadi pemangkin pembangunan negara selepas peristiwa berdarah tersebut.

Namun, terdapat kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu dewasa ini untuk menghalang generasi muda pada dari terus mengingati peristiwa ini, atas dasar ia adalah satu kejadian rusuhan yang tidak patut menjadi rujukan kerana telah lama berlalu. Malah pihak-pihak ini juga cenderung untuk mengubah ukiran sejarah yang telah diterima pakai selama ini dan cuba untuk mencoret sejarah baru mengenai kejadian tersebut.

Mungkin mereka lupa akan kepentingan sejarah. Sememangnya tidak ada pihak yang mahu kejadian seperti itu berulang kembali, lebih-lebih lagi dengan apa yang sudah kita miliki pada hari ini; kemakmuran ekonomi, kepesatan pembangunan, kestabilan sosial (walau ada yang cuba mengorak arus pergolakan), serta pelbagai nikmat yang kita kecapi hari ini. Mengingati sejarah bukanlah satu perkara yang negatif, malah ia dapat membantu; sekiranya difahami dengan betul; untuk mengelak kan perkara sama dari berulang.

Mohd Redzuan Bin Mohamed Yusoff

Yang Di-Pertua,

GPMS Cawangan Khas UIAM

Program Remaja Mengurus Remaja

May 8, 2009

Tanggal 8 Mei 2009 menyaksikan satu program bertajuk "Program Remaja Mengurus Remaja", oleh Pergerakan Puteri Islam Malaysia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang bertempat di Lecture Theatre 2, Kulliyah Ekonomi, UIAM.

Seramai 120 orang pelajar yang terlibat dari sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang, yang juga merupakan pelajar-pelajar yang terlibat dengan Pergerakan Puteri Islam. Majlis bermula pada pukul 9 yang dimulakan dengan slot ceramah motivasi yang bertajuk "Stepping on the Golden Stone" oleh saudara Noorizal Bin Zakaria, penceramah motivasi GPMS.



Slot kedua bermula pada pukul 1130 pagi, diisi dengan forum yang bertajuk "Selangkah ke Universiti Seribu Perubahan" yang dipengerusikan oleh saudara Rizal Bin Merican. Ahli panel yang terlibat merupakan saudara Akmal Saufi Bin Dato' Khalid, saudara Redzuan Mohd Yusoff dan juga saudari Nadia Bt Raes.


Selepas makan tengah hari dan solat Zohor, LDK dijalankan dengan 10 kumpulan yang ditempatkan di dalam kelas-kelas yang telah ditetapkan. Majlis penutup pada jam 330 petang dirasmikan oleh saudara Zahir Bin Zakaria, Penolong Pengarah, Leadership and Entrepreneur Development Unit,UIAM. Ucapan dimulakan oleh Setiausaha Pergerakan Puteri Islam Wilayah Persekutuan, Puan Hajah Zahirah Bt Haji Shafie.


*Encik Zahir Bin Zakaria

Majlis diteruskan dengan penghargaan kepada semua peserta yang terlibat, fasilitator-fasilitator dan juga penghargaan kepada tetamu kehormat.


*sebahagian fasilitator dan komiti yang terlibat

*bergambar kenangan selepas aturcara majlis

Pihak GPMS UIAM mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang sangat bermakna ini. Semoga dapat diteruskan lagi program-program seperti ini untuk manfaat bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP