Persidangan Agung Tahunan Kali Ke-54

Dec 21, 2008

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung baru-baru ini telah mengadakan Persidangan Agung Tahunan kali ke-54 bertempat di Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia,Seri Layang, Genting Highlands pada 19 dan 20 Disember 2008. Seramai lebih kurang 400 perwakilan hadir menyertai persidangan tersebut. Urusetia pula terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Kolej Islam Antarabangsa dan GPMS Cawangan Wangsa Maju.

*urusetia yang terlibat

Persidangan kali ini memberi impak yang besar kepada setiap ahli kerana buat julung kalinya perjuangan bangsa yang sekian lama di junjung, diimbas kembali di mana bermulanya semangat juang yang tinggi demi bangsa tercinta dibina. Bersesuaian dengan tempat berlangsungnya Persidangan Agung Tahunan kali ke-54 ini, Institut Aminuddin Baki telah dipilih dan dianggap pentas paling bersejarah kerana Aminuddin Baki merupakan pengasas utama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

*Isteri kepada Allahyarham Aminuddin Baki

Persidangan kali ini juga menyaksikan pertemuan pejuang-pejuang bangsa yang baru dengan yang lama,yang tua juga yang muda. Ia dirasmikan oleh Dato' Saifuddin bin Abdullah. Pada persidangan kali ini, GPMS juga telah menghargai pejuang-pejuang bangsa terdahulu dengan penganugerahan Anugerah Adiwangsa kepada pejuang yang terlebih dahulu membina empayar Melayu yang gah di nusantara. Antaranya Allahyarham Aminuddin Baki, Abdullah Majid dan ramai lagi tokoh-tokoh GPMS yang sentiasa setia dan mereka jugalah yang memulakan rentak memelihara Melayu sebangsa dan seagama.





Berjalan ke hutan mencari kayu
Duri tajam terhiris ke tangan
Berdiri megah bangsa Melayu
Sejarah dahulu dilupa jangan



Sejarah GPMS

Dec 17, 2008

Aminuddin Baki ( 6 Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia yang kini disebut sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. Banyak sekolah dan institusi di Malaysia telah dinamakan sempena namanya.

Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor,Perak, Aminuddin Baki memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941.

Pada sekitar tahun 1945, beliau mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar. Beliau amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin Baki dilantik sebagai setiausaha dan kemudian menubuhkan Persatuan Pelajar Melayu Insaf(PERMI) di Perak pada April 1946. Namu begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab Mohamad Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles, Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di Pusat Pengajian Tinggi. Perbincangan mengenai pergerakan pelajar Melayu akhirnya membawa kepada idea untuk menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Hal ini disokong oleh Mohamad Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin Baki dan pemimpin pelajar lain mengambil kepututsan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun,Ipoh. Hasil daripada persidangan itu maka terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar MElayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun, pada tahun 1949, Aminuddin terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya,Singapura.

Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1049 hingga 1951. Pada tahun 1950 beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama. beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

Jawatankuasa Sementara 1948, bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di tanah air.

Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.

Dalam usianya sudah mencecah 60 tahun, perjuangan GPMS berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi maruah bangsa dan negara.

Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi yang tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.


Moto GPMS

BELAJAR TERUS BELAJAR

sumber: http://gpmsuitm.wordpress.com/sejarah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP