Sedikit kisah

Nov 29, 2009

Komunis dan Chin Peng

KISAHNYA CHIN PENG....

Saya agak terpanggil membuat sedikit kajian tentang Chin Peng apabila lewat2 ini namanya kuat berkumandang di akhbar, portal-portal dan laman2 sesawang...
Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang berusia kini 85 tahun itu, bagaimanapun belum bersedia untuk memohon maaf di atas apa yang telah berlaku - tidak seperti yang dilaporkan media minggu lalu.

“Saya tidak ada niat lain selain daripada untuk pulang ke tanahair saya,” katanya.
Bercakap kepada media, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, berkata beliau berhasrat menziarahi kubur ibubapanya serta menemui anggota keluarganya. Chin Peng berada di bandar di selatan Thailand bagi menyambut ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai, yang menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Perjanjian damai tersebut ditandatangani Chin Peng dan Rashid Maidin mewakili PKM dan Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub mewakili kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.
Akhbar memetik sebagai berkata, keinginannya untuk pulang ke tanahair, begitu kuat sekali sehinggakan bekas pemimpin PKM itu sedang menimbang mengambil risiko masuk secara 'rahsia' dan terserahlah kepada pihak kerajaan untuk mengambil apa jua pun tindakan.

Saya tertarik dalam wawancara ekseklusif dengan akhbar The Star minggu lalu, Chin Peng dilapor dan dipetik sebagai berkata, dia memohon maaf kepada mangsa dan keluarga yang menjadi mangsa keganasan PKM dan berkata PKM tidak pernah berniat untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa, tetapi beliau mengakui - "kami mungkin telah melakukan kesilapan dalam beberapa kes"!.
Namun disebalik itu kata Peguam mewakilinya, Leong Cheok Keng yang turut membawa rakaman wawancara dengan akhbar The Star, berkata Chin Peng bersedia memohon maaf sekiranya ada bukti yang menunjukkan anggota PKM telah dengan sengaja membunuh rakyat yang tidak berdosa!!
Beliau mengkritik akhbar tersebut yang memainkan isu "permohonan maaf" itu kerana ia memberi gambaran yang Chin Peng menyesal atau telah mengaku telah membunuh orang yang tidak berdosa.

Chin Peng

Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya. beliau dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.
Sebagaimana sangkaan ramai, Chin Peng bukan berasal dari China, tetapi beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari sebelahku" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.

Kisah hidupnya

Semasa kecil Chin Peng amat berminat membaca bahan-bahan media cetak dan menyorot perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.
Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.

Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak di dalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh di dalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

Memimpin Parti Komunis Malaya

Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .

Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama Islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.

Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

Perjanjian Damai

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

Kemerosotan Komunis

Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

Kembali ke Malaysia

Cubaannya untuk kembali ke Malaysia menerima sokongan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan parti DAP. Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal memimpin Parti Komunis Malaya dalam perperangan mereka menentang kerajaan malaysia, malah bangga dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, ("Setiap generasi membina impiannya. ... Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. ... Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.").

Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya termasuk polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Rundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.

Persoalan ini dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi membenarkan tindakannya. Benarnya, pendirian komunisnya berpegang kepada komunisme kental sehingga tiada rasa salah dan dosa atas pembunuhan yang dilakukan dikala keganasan komunis yang diterajunya sejak dulu hingga ke saat nyawanya kini hampir sampai ke leher!
Tiada maaf bagi mu Chin Peng....

kredit untuk
Pengerusi GPMS Negeri Melaka

Jais Abdul Karim Peneraju Kepimpinan GPMS 09/12

Nov 24, 2009

Persidangan Agung Tahunan kali ke-55 menyaksikan Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican telah melepaskan jawatan Presiden yang dipegangnya selama sepenggal. Seluruh warga GPMS mengucapkan jutaan terima kasih sepanjang Dato' Presiden menerajui kepimpinan GPMS.

*mantan Presiden GPMS, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican

Persidangan Agung Tahunan kali ke-55 ini juga telah mengangkat saudara Jais bin Abd Karim, YDP GPMS Wangsa Maju, sebagai Presiden GPMS 09/12, menggantikan Dato' Reezal Merican. Timbalan Presiden pula disandang oleh saudara Rosdi Amir. GPMS UIAM akan sentiasa menyokong penuh Presiden GPMS yang baru dan memastikan GPMS lebih gemilang dengan hala tuju yang lebih menjamin kehidupan anak bangsa.

*saudara Jais Bin Abd Karim, Presiden GPMS 09/12

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada calon2 yang menang bertanding untuk jawatan Naib Presiden 1 iaitu saudara Hasnul Fairus Hushin Amri. Naib Presiden 2 disandang oleh saudara Ezaruddin Abdul Rahman dan Naib Presiden 3 ialah saudara Hishamuddin Abd Rahman. Naib Presiden Wanita yang telah dilantik pula ialah saudari Rafidah Mohd Ariffin.


* saudara Hasnul Fairus

Setiausaha Agung disandang oleh saudara Zambri Mat Isa dan Penolong Setiausaha Agung pula ialah saudara Marwan Bin Abu Kassim. Bendahari ialah saudara Annas Ahmad dan Ketua Penerangan ialah saudara Irmohizam Ibrahim.

Enam jawatan Ahli Majlis Tertinggi telah dimenangi oleh saudara Ismadee Asmara Ishak, saudara Khairul Adha Mazlan, saudara Azham Abara Ahmad, Dr. Hazzaini Hashim dan saudara Alif Anas Bin Mohd Noor.

*saudara Ismadee Asmara Ishak

GPMS UIAM sungguh berbesar hati dan berbangga apabila antara enam jawatan itu, YDP GPMS UIAM, saudara Mohd Redzuan Bin Mohd Yusoff merupakan antara salah seorang calon yang menang bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Jutaan tahniah buat saudara Redzuan.

*saudara Mohd Redzuan

GPMS UIAM berharap agar kepimpinan yang diterajui oleh saudara Jais atau lebih mesra dipanggil Abang Jais dikalangan warga GPMS UIAM, akan terus memperjuangkan bangsa dan negara dalam mengharung globalisasi dunia.

Tahniah sekali lagi buat semua pemenang. Salam perjuangan, Salam Satu Malaysia.

Para Jamaludin,
Exco,
Biro Teknologi dan Multimedia.

Persidangan Agung Tahunan GPMS 2009

Nov 2, 2009

Persidangan Agung Tahunan kembali lagi. Kali ini bertempat di UiTM Shah Alam. Pihak GPMS UIAM mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi sebahagian daripada komiti yang terlibat untuk menjayakan program ini pada 20-22 November nanti.

Persidangan Agung Tahunan kali ini bakal menyaksikan pengunduran Presiden GPMS, Dato Reezal Merican Naina Merican sebagai Presiden GPMS. Walau siapa pun Presidennya, GPMS UIAM berharap agar semangat dan perjuangan bangsa Melayu semakin gemilang dan tak hilang ditelan arus modenisasi dan globalisasi.

Berikut adalah butir-butir Pesidangan Agung Tahunan (PAT).

Tempat : UiTM Shah Alam
Tarikh : 20-22 November 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP