Kg Lorong Buah Pala : Bukan Salah Orang Melayu!

Jul 14, 2009

Kampung Lorong Buah Pala, Pulau Pinang. Secara tiba-tiba, kampong kecil dan tersorok di Pulau Pinang ini menjadi kampung paling terkenal di Malaysia, malah mungkin dengan bantuan dan sokongan HINDRAF, hingga ke India dan Britain.

Lonjakan populariti kampung ini bukanlah disebabkan oleh kemenangan salah seorang penduduk di dalam Anugerah Oscar, Hadiah Nobel ataupun tokoh pemimpin. Malah, kampung ini juga tidak pernah memenangi apa-apa pertandingan antara kampung; baik kampung paling aman, ceria, bersih ataupun apa jua.

Lonjakan populariti ini adalah kerana berlaku ‘clash of interests’ atau perlagaan kepentingan diantara penduduk kampung dan pemaju projek yang telah mendapat arahan mahkamah untuk mengambil tanah tersebut.

Melalui bacaan umum (Surat Khabar, Berita), penduduk hanya mendapat lesen kependudukan sementara (temporary occupation license). Mengikut peruntukan undang-undang, kebenaran jenis ini bukanlah kekal selama-lamanya malah perlu diperbaharui setiap akhir tahun. Dan jika pihak kerajaan negeri terbabit enggan meluluskan permohonan perbaharuan tersebut, maka si pemohon perlu mengosongkan tanah tersebut. Malah, mengikut undang-undang, pihak kerajaan negeri mampu untuk mengambil tanah hak milik kekal sesiapa jua dengan pampas an yang sesuai.

Apa yang menjadi isu di kampung Lorong Buah Pala adalah janji kerajaan negeri (DAP pimpinan Lim Guan Eng) yang telah berjanji ketika kempen Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) untuk membela nasib penduduk kampung tersebut. Menurut wakil penduduk, selepas PRU-12, pihak kerajaan negeri tidak menunaikan janji sehingga Mahkamah Persekutuan mengeluarkan arahan kepada penduduk untuk mengosongkan tanah sebelum 4 Ogos.

Malangnya, wakil penduduk telah mengeluarkan amaran berbentuk perkauman, dan amaran ini telah disiarkan melalui televisyen. Menurut wakil penduduk tersebut, masalah ini akan menjadi masalah perkauman kerana pihak pemaju adalah orang Melayu (masih tidak dapat dipastikan). Jika benar sekalipun pihak pemaju adalah Orang Melayu, perkara ini tidak wajar dijadikan isu perkauman. Pihak pemaju hanya menjalankan hak mereka mengikut undang-undang, bukannya merampas hak penduduk kampung.

Arahan daripada mahkamah telah dikeluarkan, notis sebulan telah diedarkan (sehingga seluruh negara tahu), malah penduduk sendiri memberi respons panas, membuktikan mereka faham akan arahan tersebut. Segala masalah yang timbul adalah antara mereka dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdasarkan janji yang ditaburkan (itupun jika ada!), dan arahan mahkamah yang dibuat mengikut lunas-lunas perundangan. Yang jelas, orang Melayu tidak langsung terlibat!

Selama inipun, telah terdapat pelbagai kejadian yang sama melibatkan tanah-tanah diduduki orang-orang Melayu di Pulau Pinang yang diambil oleh kerajaan negeri atas tujuan pembangunan. Contohnya, tanah-tanah di Tanjung Tokong yang diambil dan dibina kondominium yang jelas tidak mempu dimiliki Orang Melayu, tidak pula orang-orang Melayu menyatakan amaran berbentuk perkauman kepada orang Cina atas alasan pihak pemaju adalah CIna. Malah, isu ini tidak mendapat perhatian pun!

GPMS UIAM mengutuk sekeras-kerasnya amaran berbaur perkauman dari pihak wakil penduduk Kg Lorong Buah Pala terhadap orang Melayu. Masalah yang anda hadapi bukanlah salah orang Melayu. Anda telah memilih kerajaan negeri anda berdasarkan janji mereka; tuntut janji tersebut dari mereka. Jangan sesekali mambakar semangat perkauman. Tidak ada siapa mahu pertempuran berdarah berulang kembali!!!

MOHD REDZUAN BIN MOHAMED YUSOFF

YDP,

GPMS CAW KHAS UIAM

012-664 6907

Biasiswa Nasional

Jul 1, 2009

KUALA LUMPUR 30 Jun - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak mahu kecemerlangan akademik dijadikan merit tunggal kepada penganugerahan Biasiswa Nasional yang dirancang diperkenalkan kerajaan bermula tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebarang kaedah atau merit yang dijadikan panduan dalam penganugerahan biasiswa jenis itu kelak perlulah bersifat holistik dan menyeluruh.

"Ini adalah berdasarkan niat untuk memastikan pendemokrasian akses kepada peluang berkualiti benar-benar diterima dan dihargai oleh seluruh masyarakat".

"Kaedah mengukur kecemerlangan mesti dinilai bukan sahaja berdasarkan kemampuan akademik tetapi merangkumi elemen-elemen lain yang turut dinilai sama," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun hadapan dan akan dianugerahkan berdasarkan sistem meritokrasi sepenuhnya.

Tambah Reezal Merican, bagi memastikan Biasiswa Nasional mempunyai prestij dan dihargai, GPMS mengusulkan agar kriteria penentuan yang digunakan dalam penganugerahan biasiswa jenis itu diberikan pertimbangan yang sebaiknya.

Jelasnya, kecemerlangan akademik harus kekal menjadi asas utama penganugerahan Biasiswa Nasional tetapi penglibatan kokurikulum juga perlu diberikan penekanan.

"Meletakkan peratusan pemberat yang lebih tinggi kepada kegiatan kokurikulum dirasakan penting bagi memberikan ruang kepada pembinaan sahsiah dan kemampuan yang lebih terserlah di kalangan generasi muda," katanya.

Selain itu, kata beliau, status sosioekonomi pelajar yang bakal memohon Biasiswa Nasional turut perlu diberikan perhatian.

"Sebagai mewakili pertubuhan berkepentingan pelajar Melayu, GPMS mahu menyampaikan harapan dan hasrat masyarakat akar umbi dengan sistem yang lebih mesra dengan kedudukan sebenar mereka," katanya.

Jelas beliau, dalam konteks yang sama, harus diingat bahawa kualiti pencapaian 10A1 seorang pelajar di Kuala Lumpur pastinya tidak sama dengan kualiti seorang pelajar di Tanah Tinggi Bario atau di Kinabatangan dan ini memperlihatkan bahawa Biasiswa Nasional mesti reflektif kepada asas-asas yang demikian sifatnya.

"GPMS tidak mahu biasiswa jenis itu sekadar menjadi skim biasiswa biasa, justeru ia mesti dipastikan mengambil kira kaedah merit yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau juga berharap penerima Biasiswa Nasional dipastikan mereka yang mempunyai cita dan semangat patriotisme yang tinggi.


sumber: Utusan Malaysia Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP