Biasiswa Nasional

Jul 1, 2009

KUALA LUMPUR 30 Jun - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak mahu kecemerlangan akademik dijadikan merit tunggal kepada penganugerahan Biasiswa Nasional yang dirancang diperkenalkan kerajaan bermula tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebarang kaedah atau merit yang dijadikan panduan dalam penganugerahan biasiswa jenis itu kelak perlulah bersifat holistik dan menyeluruh.

"Ini adalah berdasarkan niat untuk memastikan pendemokrasian akses kepada peluang berkualiti benar-benar diterima dan dihargai oleh seluruh masyarakat".

"Kaedah mengukur kecemerlangan mesti dinilai bukan sahaja berdasarkan kemampuan akademik tetapi merangkumi elemen-elemen lain yang turut dinilai sama," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun hadapan dan akan dianugerahkan berdasarkan sistem meritokrasi sepenuhnya.

Tambah Reezal Merican, bagi memastikan Biasiswa Nasional mempunyai prestij dan dihargai, GPMS mengusulkan agar kriteria penentuan yang digunakan dalam penganugerahan biasiswa jenis itu diberikan pertimbangan yang sebaiknya.

Jelasnya, kecemerlangan akademik harus kekal menjadi asas utama penganugerahan Biasiswa Nasional tetapi penglibatan kokurikulum juga perlu diberikan penekanan.

"Meletakkan peratusan pemberat yang lebih tinggi kepada kegiatan kokurikulum dirasakan penting bagi memberikan ruang kepada pembinaan sahsiah dan kemampuan yang lebih terserlah di kalangan generasi muda," katanya.

Selain itu, kata beliau, status sosioekonomi pelajar yang bakal memohon Biasiswa Nasional turut perlu diberikan perhatian.

"Sebagai mewakili pertubuhan berkepentingan pelajar Melayu, GPMS mahu menyampaikan harapan dan hasrat masyarakat akar umbi dengan sistem yang lebih mesra dengan kedudukan sebenar mereka," katanya.

Jelas beliau, dalam konteks yang sama, harus diingat bahawa kualiti pencapaian 10A1 seorang pelajar di Kuala Lumpur pastinya tidak sama dengan kualiti seorang pelajar di Tanah Tinggi Bario atau di Kinabatangan dan ini memperlihatkan bahawa Biasiswa Nasional mesti reflektif kepada asas-asas yang demikian sifatnya.

"GPMS tidak mahu biasiswa jenis itu sekadar menjadi skim biasiswa biasa, justeru ia mesti dipastikan mengambil kira kaedah merit yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau juga berharap penerima Biasiswa Nasional dipastikan mereka yang mempunyai cita dan semangat patriotisme yang tinggi.


sumber: Utusan Malaysia Online

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © BLOG DESIGN Inspiration by YiE@Art Effects StuDiOs 2011

Back to TOP